Monday, February 29, 2016

PELUANG MENJADI PENYAMPAI RADIO


JENGKA 3 - Belia sekitar kawasan Dun Kuala Sentul berpeluang mengetengahkan bakat masing-masing sebagai penyampai radio amatur menerusi pertandingan mencari bakat baru anjuran Kuala Sentul FM.

Penyampai tetap Kuala Sentul FM, Abdul Malek Ahmad atau DJ MBA berkata, sesiapa yang berbakat sebagai penyampai radio boleh hadir ke konti mereka di Rumah Rakyat Dun Kuala Sentul, Jengka 3 untuk uji bakat.

“Ini merupakan uji bakat berbentuk pertandingan. Sesiapa berminat untuk menjadi penyampai radio, boleh menyertai pertandingan ini bermula hari ini sehingga 10 Julai nanti bagi membolehkan kami mengenal pasti bakat terpendam penduduk di sini,” katanya.

DJ MBA berkata, selain pertandingan mencari bakat baru penyampai radio, pihaknya juga akan mengadakan pertandingan mencipta logo dan slogan Kuala Sentul.

Katanya, pemenang pertandingan itu berpeluang memenangi percutian dua hari satu malam di Awana Genting Resort, selain menjadi penyampai radio sambilan di Kuala Sentul FM.

“Pertandingan ini bertujuan mencari bakat terpendam supaya dapat diketengahkan kepada umum.
Logo terbabit pula akan digunakan untuk menghiasi konti kami dan ketika pelancaran Kuala Sentul FM tidak lama lagi.

“Kedua-dua pertandingan ini diadakan dengan kerjasama Pejabat Khidmat Dun Kuala Sentul. Terima kasih kepada Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin atas sokongan beliau," katanya.